Isnin, Jun 11, 2007

Konsep 80/20: Bagaimana menggunakan masa di KUSESS dengan betul?

Konsep 80/20 diperkenalkan oleh Vilfredo Pareto, seorang pakar ekonomi berbangsa Itali yang mengatakan bahawa 80% hasil datangnya daripada 20% punca. Konsep ini banyak digunakan sebagai penanda dalam pelbagai bidang. Saya ingin berkongsi pengalaman saya ketika berada di KUSESS tentang bagaimana mengadaptasi konsep ini ke dalam kehidupan para pelajar.

Sebagai contoh:

1. Dalam bidang perniagaan:
1. 80% daripada keuntungan datangnya daripada 20% pelanggan
2. Dalam bidang fesyen:
1. 80% daripada masa kita digunakan dengan memakai 20% daripada baju kegemaran kita
3. Dalam perhubungan:
1. 80% daripada masa kita diluangkan dengan 20% daripada kenalan rapat kita.

Bagaimana dalam konsep pembelajaran?

80% kejayaan kita datangnya daripada 20% usaha kita. Namun begitu, yang hendak saya tekankan disini adalah bagaimana memaksimakan penggunaan 20% usaha kita untuk mencapai kejayaan. Saya ingin berkongsi pengalaman saya ketika berada di KUSESS tentang bagaimana mengadaptasi konsep ini ke dalam kehidupan para pelajar.

Antara perkara yang sangat penting untuk mengejar 80% kejayaan kita adalah dengan pembahagian masa yang betul. Dengan membahagikan masa kamu dengan betul, segala perkara yang perlu kamu langsaikan akan berjalan lancar. Perhatikan jadual waktu di sekolah berasrama penuh berikut sebagai contoh:




Gambar: Pecahan masa pelajar asrama penuh
*Pecahan masa adalah sekadar anggaran penulis

1. Waktu sekolah (dibundar kepada 7 jam sehari)
2. Prep petang dan prep malam (dibundar kepada 4 jam sehari)
3. Solat, makan, riadah dan rehat (dibundar kepada 7 jam sehari)
4. Tidur (dibundar kepada 6 jam sehari)

Dalam jadual harian kamu, sebanyak 4 jam digunakan untuk kelas persediaan petang dan malam iaitu kira-kira 20% (dibundarkan) daripada masa keseluruhan. 4 jam ini jika digunakan dengan sebaik mungkin sebenarnya sudah mencukupi untuk menjana 80% kejayaan kamu. 4 jam ini bukan sahaja cukup untuk menyelesaikan tugasan yang diberi oleh guru-guru bahkan boleh digunakan untuk menelaah nota pelajaran yang lain. Tetapi harus diingat! 4 jam ini haruslah dibahagi dengan cara yang betul supaya setiap saat yang kamu gunakan itu digunakan dengan sebaik mungkin. Untuk memastikan pembahagian masa kamu adalah tepat, wajarlah kamu mengikut tips di bawah sebagai rujukan:

* Jangan menangguh masa. Kerja-kerja yang harus diselesaikan haruslah dibuat segera dan tidak bertangguh ke suatu masa yang lain. Misalnya, jika perlu menyiapkan latihan matematik, lakukan pada prep petang dan tidak dibawa ke kelas prep malam.
*
Pengutamaan kerja. Kamu harus bijak mengutamakan kerja-kerja yang harus diselesaikan mengikut turutan daripada yang paling penting kepada yang kurang penting. Misalnya, jika diberi 2 latihan biologi dan kimia, selesaikan latihan kimia dahulu jika kelas kimia adalah di depan kelas biologi dalam jadual sessi persekolahan kamu.
* Tidur mengikut jadual. 25% daripada masa kamu (6 jam) yang diperuntukkan untuk kamu setiap hari adalah cukup untuk tidur. Kadang-kala ada antara kamu yang merungut tidak cukup tidur. Sebenarnya, kamu bukannya tidak cukup tidur tetapi kamu tidak mendapatkan tidur yang berkualiti. Ada pelbagai tips untuk mendapatkan tidur berkualiti tetapi cara yang terbaik adalah keluar BERIADAH pada waktu petang! Peluh yang keluar hasil daripada aktiviti riadah sebenarnya membantu badan kamu mendapatkan tidur yang berkualiti pada malam hari.
* Tidak mengulangkaji pelajaran pada lewat malam
1. Pada masa saya dahulu, ramai yang mencuri waktu tidur untuk mengulangkaji pelajaran. Secara peribadi, sebenarnya cara ini tidak wajar diikut kerana hal ini membuktikan yang kamu gagal membahagikan masa dengan baik. Kecuali jika kamu mempunyai urusan lain pada siang hari (mesyuarat sukan atau kelab, mesyurata MPP), kamu tidak digalakkan mengulangkaji pelajaran pada lewat malam kerana ini akan mengganggu “body clock” kamu dan membuatkan kamu mengantuk pada keesokan hari.
2. Jika kamu kesuntukan masa (kerana kesibukan dengan hal-hal lain yang munasabah), minta kebenaran kepada guru kamu untuk menghantar kerja lewat. Guru kamu seharusnya faham dengan tanggungjawab kamu yang lain kerana guru kamu juga pernah menjadi pelajar seperti kamu. Jumpalah guru kamu dan minta kebenarannya dengan cara yang baik.

Deduksinya, dalam mengadaptasi konsep 80/20 dalam kehidupan kamu, 20% daripada masa kamu (masa prep petang dan prep malam) haruslah digunakan dengan betul bagi menjana 80% kejayaan kamu.




Rujukan:

http://en.wikipedia.org/wiki/Pareto_principle
http://www.8020publishing.com/blog/
http://spiritize.blogspot.com/2006/02/paretos-principle-80-20-rule.html

Teks asal boleh didapati di sini (via kusess.edu.my)

1 ulasan:

Unknown berkata...

ouh ye? mungkin seseorang yg menulis di jadual masa tido untuk jadual waktu matematik tambahan itu, sudah memastikan 80% masa tidurnya menyerap ilmu kan?